Tuesday, March 24, 2009

wanita dan kerjaya

WANITA dan kerjaya seringkali dikaitkan dengan bebanan kerja. Sehingga ada di antara mereka tidak terdaya lagi untuk menggalas kewajipan dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu di rumah.
Dari pagi sehinggalah lewat petang, mereka sibuk merancang, mengurus dan membina masa depan empayar kerjaya. Ini membuatkan sesetengah urusan yang wajib dipikulnya di rumah dilepaskan kepada pembantu rumah.
Anak-anak dan suami pula merasakan diri mereka terabai gara-gara kerjaya yang dihambat oleh ibu dan isteri. Pengabaian dalam aspek kekeluargaan itu berkaitan tentang penjagaan, penyediaan makanan dan kualiti masa dengan anak-anak.
Soalnya, adakah wanita bekerjaya hari ini masih dihimpit masalah yang sama atau mengganggap pengurusan keluarga seharusnya dibahagikan sama rata dengan suami?
WANITA DALAM MEDIA: ASPRESIASI ATAU EKSPLOITASI
Wanita di Malaysia sungguh bertuah kerana pindaan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan pada tahun ini telah meletakkan hak yang sama rata untuk semua tanpa mengira jantina. Pengiktirafan ini menjadi bukti kejayaan wanita di negara ini untuk mencapai kesaksamaan gender.
Hal ini bermakna, ruang dan peluang yang lebih terbuka dan selesa tersedia untuk wanita mengorak langkah mencapai kejayaan. Namun, perjuangan mereka masih belum berakhir kerana masih banyak cabaran yang harus ditangani untuk menempatkan diri dalam sfera kehidupan yang lebih selesa dan bermakna.
Secara keseluruhannya, kedudukan wanita di negara ini lebih baik berbanding saudara mereka di negara membangun lain, khususnya di Asia Selatan dan Afrika. Wanita Malaysia telah mencapai kejayaan yang membanggakan dengan jumlah mereka yang berjaya dalam kerjaya dan pendidikan semakin meningkat. Semakin ramai wanita yang menjawat jawatan tinggi, sama ada di sektor awam mahupun swasta. Trend kemasukan pelajar ke universiti tempatan sejak 1995 menunjukkan peningkatan pelajar perempuan berbanding lelaki. Malah, pada tahun ini, jumlah pelajar perempuan yang mendaftar di universiti tempatan adalah sebanyak 65% berbanding lelaki hanya 35%.
Jika demikian hebatnya kejayaan wanita kita, bagaimana agaknya mereka dipaparkan dalam media massa tempatan? Mungkin ada yang bertanya apakah pentingnya soal pemaparan wanita ini untuk dibahaskan? Rasionalnya, rutin kehidupan kita sedikit-sebanyak berkisar kepada aktiviti yang melibatkan penggunaan produk media sama ada menonton televisyen, membaca akhbar, atau mendengar radio. Pergantungan dan pengguanaan produk media bukan sekadar hubungan yang pasif antara khalayak dan penyalur mesej kerana media massa membawa bersama nilai-nilai sosial.
Media massa telah menjadi institusi yang penting dalam mencorakkan pemikiran masyarakat. Ia berupaya membentuk tanggapan khalayak melalui pemaparan imej yang disalurkan olehnya secara berulang-ulang. Proses ini berlangsung secara halus dan hampir tidak disedari oleh khalayak. Melalui kekerapan dan teknik kreatif yang diadaun secara halus, maka tidak menghairankan jika khalayak tidak menyedari bahawa persepsi mereka terhadap sesuatu fenomena sebenarnya telah dibentuk. "Kuasa" inilah yang jika salah digunakan akan memberi kesan yang negatif kepada khalayak.
Oleh itu, pemaparan wanita merupakan isu yang signifikan. Pejuang wanita dan pengkritik media khuatir dengan implikasi pemaparan wanita yang menyeleweng daripada realiti kerana ia menafikan status, peranan dan sumbangan wanita terhadap pembangunan negara. Lebih daripada itu, ia membentuk persepsi yang salah terhadap wanita.
Gaye Tuchman, sarjana komunikasi Amerika, menyifatkan media telah melakukan "symbolic annihilation", yakni dengan makna lain, strategi media adalah mempromosikan stereotaip atau mengurangkan pemaparan wanita. Berdasarkan kajiannya, wanita sejati menurut media ialah seorang yang "pasif dan tidak mampu berdikari; nasib dan kegembiraannya bergantung kepada lelaki semata, bukannya menjadi tenaga kerja."
Apakah stereotaip? Stereotaip secara mudah bermakna idea dan andaian umum yang menjadi simbol yang dipermudahkan, diumumkan, dan disesuaikan terhadap sesuatu kelompok manusia. Ia merupakan pengkelasan sosial yang tipikal dan tidak mengandungi ciri-ciri yang baru, misalnya "hero filem Hollywood mesti lelaki berkulit putih."
Stereotaip sukar dielakkan dalam media; ia sudah menjadi praktis dalam pengeluaran produk media. Misalnya, industri filem Hollywood dikatakan berkembang berasaskan naratif yang stereotaip untuk menarik perhatian kelompok awal khalayak Amerika yang buta huruf dan berbilang kaum.
Bagaimana agaknya kandungan media tempatan? Kajian-kajian yang banyak dilakukan oleh para sarjana komunikasi tempatan mendapati media negara ini masih mengekalkan imej wanita yang stereotaip. Periklanan misalnya sarat dengan imej stereotaip wanita. Wanita masih digambarkan sebagai suri rumah, mudah dipengaruhi, seksi, emosional, dan terikat dengan ciri-ciri tradisional seperti suka memasak dan melaram. Imej wanita kerap digunakan untuk melariskan barangan dan perkhidmatan. Ia boleh diterima jika barangan berkaitan wanita menggunakan model wanita. Bagaimana pula dengan iklan yang tidak berkenaan sepert tayar kereta?
Majalah-majalah wanita kita pula sering memaparkan rutin hidup wanita yang terikat dengan dunia fesyen, kecantikan, masakan, dan petua rumahtangga. Ia juga berfungsi sebagai agen promosi gaya hidup terkini dengan peruntukan halaman fesyen yang lebih banyak daripada editorial. Ruangan fesyen telah menjadi hukuman mandatori untuk para editor menyiarkannya secara tetap. Dalam kajian oleh Fauziah Ramly untuk bengkel anjuran Asia-Pacific Development Centre pada 1992 terhadap sampel majalah Her World, didapati 35% halaman diperuntukkan untuk fesyen. Jumlah itu melebihi peruntukan halaman artikel tentang pembangunan luar bandar, alam sekitar, kesihatan, dan kerjaya yang ditulis dengan baik dan pastinya lebih bermanfaat.
Drama dan filem tempatan pula tidak banyak mengangkat martabat wanita dengan peranan yang aktif dan boleh dicontohi. Menurut kajian Kiranjit Kaur dan Rosni Jaafar dari Universiti Teknologi MARA terhadap drama televisyen tempatan pada 1989, watak wanita digambarkan secara pasif dan tidak mempunyai peranan yang penting dalam masyarakat. Wanita digambarkan sebagai terikat dengan tugasan rumah tangga, mengerjakan ladang dan menjalankan tugas di pejabat. Watak wanitanya pula tampil cantik, bergantung kepada orang lain (suami/bapa), setia, sabar, pasrah ditindas, dan hidup menderita. Walaupun kajian ini telah lama dilakukan, namun realiti semasa masih tidak banyak berubah. Kita pasti tidak lupa kontroversi yang timbul ekoran tayangan filem "Perempuan, Isteri dan…" arahan U-Wei Saari yang memparkan watak isteri curang yang hidup bertunjangkan nafsu.
Bagaimana pula dengan liputan akhbar terhadap wanita? Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1994 mendapati sebanyak 37.5% liputan berita tentang wanita bersifat negatif, bias, dan seksi. Keadaan ini tidak mencerminkan realiti bahawa 43% wartawan Malaysia pada tahun kajian adalah wanita tetapi hanya 17% kandungan media difokuskan kepada wanita. Berita tentang wanita bukanlah prioriti utama akhbar dan jarang diletakkan di muka depan akhbar. Hal ini mungkin kerana setiap akhbar mempunyai halaman wanitanya sendiri. Namun tidaklah secara halus, ia bukan hanya bermaksud berita tentang wanita tidak penting dan hanya sesuai diletakkan di ruangan khas yang terhad, tetapi lebih daripada itu, wanita dibiarkan dalam alam rumah tangga semata-mata?
Perdebatan mengenai imej wanita stereotaip yang muncul dalam media kerap menyarankan peluang dibuka seluas mungkin supaya lebih ramai wanita menjadi pembuat keputusan dalam organisasi media. Sehingga kini, bilangan wanita yang memegang jawatan utama dalam organisasi media negara amat rendah. Kalau adapun, mereka tidak terlibat secara mutlak untuk membuat keputusan. Persoalannya, adakah mungkin "nature" dunia kewartawanan yang didominasi oleh lelaki telah membiarkan wartawan wanita membuat liputan soft news semata-mata?
Kita tidak menafikan bahawa media tempatan menunjukkan perubahan yang menjanjikan pemaparan yang lebih positif, tetapi ia berkembang pada kadar yang perlahan. Lebih banyak inisiatif yang perlu dikerah daripada pihak media untul menyerlahkan wajah wanita Malaysia yang lebih mandiri, positif, berpandangan luas, mempunyai kerjaya, dan kehidupan berkeluarga yang mantap. Wartawan wanita sebenarnya ramai yang bersedia menyumbang. Sejarah membuktikan sendiri mereka telah banyak berjasa dalam mengupayakan wanita negara ini sejak merdeka sehingga kini. Misalnya, usaha bersepadu kumpulan wartawan wanita dan pertubuhan wanita dalam kempen media yang agresif pada 1996 telah membawa penguatkuasaan Akta Keganasan Rumahtangga pada tahun yang sama selepas usaha selama 10 tahun diperjuangkan oleh pertubuhan wanita.
Pihak media harus mengangkat imej wanita berilmu dan berhenti memaparkan fantasi yang tidak mungkin dapat dibeli. Perhatian kepada isu-isu yang mampu meningkatkan kualiti diri dan minda harus diutamakan. Pengamal media perlu mempunyai misi yang kukuh dan berterusan untuk mengangkat martabat wanita dan mengupayakan wanita kita seiring realiti kejayaan yang telah diraih.
Dewan Masyarakat Disember 2001 Ms 30 - 31.

WANITA DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
WALAUPUN separuh penduduk mana-mana negara terdiri daripada wanita, kaum Hawa masih dianggap kumpulan minoriti. Adakah ini disebabkan dunia masih dikuasai oleh kaum Adam? Adakah keadaan ini akan berubah setelah kaum Hawa menguasai teknologi maklumat (IT) dan dapat memperbaik nasib dan kedudukan mereka? Tidak kira apa jua pandangan lelaki, wanita mesti menguasai IT, kerana IT membuka laluan kepada wanita untuk membaiki diri dan mengubah imej mereka.
Banyak perubahan sosioekonomi dan politik berlaku ke atas wanita, terutama di negara maju, berasaskan tinjauan yang berikut:
• Wanita akan merupakan 48 peratus tenaga kerja di Amerika Syarikat (AS) menjelang tahun 2005.
• Satu per tiga perniagaan di AS
• 48 peratus pekerja wanita menyumbang 50 peratus kepada pendapatan keluarga.
• 82 peratus wanita kini mendapat pendidikan tinggi, selain mempunyai literasi komputer.
• 85 peratus wanita yang bekerja di AS mendapati kerjaya mereka sangatlah penting.
• 65 peratus wanita berkerjaya dan mengurus rumah tangga.
• Wanita dijangka meliputi 48 peratus pengguna on-line dan internet menjelang tahun 2000.
Perangkaan di atas menunjukkan wanita hari ini berbeza daripada dahulu. Tidak kira sama ada sebagai ibu, isteri, atau masih bujang, mereka perlu pandai membahagikan waktu, wang, dan kerja rumah. Senarai kerja wanita bertambah setiap masa. Oleh itu, 88 peratus daripada mereka mendapati media komunikasi, terutama
internet, amat menjimatkan masa, lebih~lebih lagi membolehkan mereka berurusan dengan bank dan membeli-belah 24 jam, selepas balik dari kerja atau pada masa lapang.
Perkembangan lain yang menyusul perubahan itu ialah hilangnya tanggapan bahawa dunia wanita adalah di rumah. Kebanyakan rumah tangga kini memerlukan pendapatan kedua-dua suami dan isteri. Perkembangan ini bukan sahaja membuka peluang baru kepada wanita, tetapi juga mengimbangi hubungan kuasa antara lelaki dengan wanita. Sehingga zaman perindustrian, kerjaya yang dipilih oleh wanita meliputi aktiviti tradisional, kerana 80 peratus daripada mereka bekeria dalam sektor perkhidmatan, perkeranian, kejururawatan, dan perkilangan. Kerja mereka dibayar upah yang murah, diberi status yang rendah; maka wanita tidak mempunyai kuasa dan pengaruh. Tetapi dalam era maklumat sekarang, yang dipentingkan ialah kekuatan intelektual.
Industri maklumat yang menjadi kuasa utama penggerak ekonomi abad ke-21 telah membuka banyak peluang pekerjaan baru kepada wanita. Kerja yang dimaksudkan itu bukan sahaja terhad kepada membuat pengaturcaraan yang hanya boleh difahami oleh komputer dan penganalisis sistem, tetapi menghasilkan maklumat yang boleh difahami oleh manusia, sama ada pakar atau bukan pakar. Antaranya, membangunkan laman web, mengarang, dan melukis yang memerlukan bakat, kemahiran, latihan, kreativiti, dan pengalaman.
Wanita yang mempunyai literasi teknologi, terutama literasi komputer mendapati mereka boleh melakukan banyak kerja yang tidak dapat dilakukan oleh mereka dahulu. Kelebihan itu disebabkan teknologi maklumat telah mewujudkan fleksibiliti dan peluang yang tidak wujud sebelum ini. Antaranya:
• Mereka boleh mendapat maklumat daripada internet, pangkalan data, media massa, dan sebagainya.
• Mereka boleh berkomunikasi dengan bebas, maka boleh mencapai khalayak yang besar.
• Mereka boleh mengimbangi kerja rumah dengan kerja pejabat.
• Mereka boleh menyampaikan maklumat melalui internet tanpa perlu ditapis.
• Mereka yang berniaga boleh mengakses pasaran sejagat yang tidak mungkin dilakukan pada masa dahulu kerana kos pemasaran, pengiklanan, dan lain-lain.
• Wanita kini tidak perlu lagi menyerahkan tanggungjawab berkomunikasi kepada lelaki sahaja, sebagaimana mereka menyerahkan kuasa ekonomi dan politik kepada lelaki selama ini.
• Mereka boleh memaksimumkan kuasa telekomunikasi dan meminimumkan masa perjalanan, agar mempunyai lebih banyak masa bersama-sama dengan keluarga.
• Mereka boleh beroperasi dari rumah.
• Mereka yang sibuk boleh membeli-belah melalui internet 24 jam.
Banyak peluang baru wujud daripada perubahan yang berlaku pada zaman maklumat. Hasilnya, pekerja wanita sudah meningkat. Nisbah pekeria wanita berbanding dengan lelaki meningkat daripada 1:5 pada tahun 1947 kepada 2:5 oada tahun 1970. Kini, 43 peratus pekerj di negara maju adalah wanita.
Wanita yang berpendidikan tinggi dan mempunyai literasi teknologi adalah wanita baru yang pandai komputer. Masalah yang paling ditakuti sekarang bukan teknologi, tetapi isi kandungan yang sesuai. Isi kandungan internet, misalnya, yang membuat orang ramai tertarik kepadanya, dan bukan teknologi. Namun, teknologi juga perlu diberi perhatian kerana teknologi yang lebih mudah, murah, dan cepat itu menarik lebih banyak orang. Buat masa ini, internet dimonopoli oleh lelaki dengan isi kandungannya berorientasi sukan, hiburan, dan sebagainya yang digemari oleh lelaki. Sebaliknya , maklumat yang dikehendaki oleh wanita adalah tentang pemakanan, resipi, masalah wanita, rawatan penyakit dan kecederaan ringan dengan segera, dos ubat dan kesan sampingannya. Maklumat itu menjadikan mereka ibu yang lebih bijak dan isteri yang lebih pandai mengurus kewangan keluarga.
Banyak usahawan wanita telah membangunkan laman web dengan isi kandungan yang sesuai untuk wanita. Contohnya, Ellen Pack Nancy yang membangunkan WELL (whole Earth Electronic Link) di San Francisco. Yang penting ialah melalui internet, setiap pelanggan diberi layanan kelas pertama. Soalnya bagaimana mengubah internet menjadi female friendly? Mod komunikasi yang sama ditanggapi secara berlainan antara lelaki dengan perempuan.
TUJUH puluh peratus wanita dipertanggungjawabkan untuk mengurus kewangan keluarga: membayar bil bulanan, membeli-belah untuk keluarga, merancang percutian keluarga, dan membuat simpanan di bank. Oleh sebab itu teknologi telepembelian dan teleperbankan cuba menjadikan wanita sebagai sasaran perniagaan mereka. Bagaimanapun, di Amerika Syarikat, 45 peratus wanita menggunakan internet, kerana lebih mudah (90%), boleh digunakan 24 jam (90%), seronok dan selesa (71%), mendapat produk baru pertama kali (60%), mengakses maklumat (90%), tidak berasa malu bertanya sesuatu yang "bodoh" di hadapan jurujual yang tidak dikenali dan yang tidak profesional (81%), boleh mendapat hiburan dan rangsangan tanpa meninggalkan rumah (69%), tidak mahu berkonfrontasi dengan jurujual yang agresif (85%), keselamatan diri terjamin di dalam rumah sendiri (76%), dan boleh berinteraksi dengan kawan walaupun berada di rumah sahaja.
Dalam era maklumat, yang dipentingkan ialah kekuatan intelek. Banyak wanita merebut peluang dalam perkembangan IT untuk merealisasikan potensi. Banyak di kalangan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tertinggi sehingga menjadi pakar dalam bidang masing-masing. Mereka menggunakan peluang itu untuk mencetuskan perubahan lain yang menguntungkan wanita sendiri. Sehubungan itu, teknologi komputer dalam era maklumat mempunyai kesan empowerment yang luar biasa dalam meningkatkan produktiviti, lantas menaikkan status wanita.
Teknologi cumalah alat. Ia tidak membezakan jantina, kerja, atau mesej. Yang boleh membezakan ialah isi kandungannya. Tetapi, untuk mendapatkan mesej dan maklumat, semua orang perlu menggunakan teknologi. Persoalan utama dalam konteks ini ialah kebolehan mengakses. Hal ini meliputi kemampuan memiliki teknologi, kemudahan prasarana, undang-undang, dan lain-lain. Oleh itu setiap wanita perlu kreatif dan inovatif.
Walaupun wanita berjaya dalam bidang perniagaan dan kerjaya lain, tidak banyak di kalangan mereka yang berjaya naik ke peringkat pengurusan pada tahun 1980-an. Sikap masyarakat, kekananan, dan faktor diskriminasi jantina adalah penyebab utama berlakunya situasi itu.
DEWAN BUDAYA, OGOS 1998, BIL 8 JIL 20, M/S 20-21

Edited by emy….

No comments:

Post a Comment