Wednesday, March 25, 2009

wanita dan teknologi maklumat

WANITA DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
Walaupun separuh penduduk mana-mana negara terdiri daripada wanita, kaum Hawa masih dianggap kumpulan minoriti. Tidak kira apa jua pandangan lelaki, wanita mesti menguasai IT, kerana IT membuka laluan kepada wanita untuk membaiki diri dan mengubah imej mereka.
wanita hari ini berbeza daripada dahulu. Tidak kira sama ada sebagai ibu, isteri, atau masih bujang, mereka perlu pandai membahagikan waktu, wang, dan kerja rumah. Senarai kerja wanita bertambah setiap masa. Oleh itu, 88 peratus daripada mereka mendapati media komunikasi, terutama internet, amat menjimatkan masa, lebih~lebih lagi membolehkan mereka berurusan dengan bank dan membeli-belah 24 jam, selepas balik dari kerja atau pada masa lapang.Perkembangan lain yang menyusul perubahan itu ialah hilangnya tanggapan bahawa dunia wanita adalah di rumah. Kebanyakan rumah tangga kini memerlukan pendapatan kedua-dua suami dan isteri. Perkembangan ini bukan sahaja membuka peluang baru kepada wanita, tetapi juga mengimbangi hubungan kuasa antara lelaki dengan wanita. Sehingga zaman perindustrian, kerjaya yang dipilih oleh wanita meliputi aktiviti tradisional, kerana 80 peratus daripada mereka bekerja dalam sektor perkhidmatan, perkeranian, kejururawatan, dan perkilangan. Kerja mereka dibayar upah yang murah, diberi status yang rendah; maka wanita tidak mempunyai kuasa dan pengaruh. Tetapi dalam era maklumat sekarang, yang dipentingkan ialah kekuatan intelektual.
Industri maklumat yang menjadi kuasa utama penggerak ekonomi abad ke-21 telah membuka banyak peluang pekerjaan baru kepada wanita. Kerja yang dimaksudkan itu bukan sahaja terhad kepada membuat pengaturcaraan yang hanya boleh difahami oleh komputer dan penganalisis sistem, tetapi menghasilkan maklumat yang boleh difahami oleh manusia, sama ada pakar atau bukan pakar. Antaranya, membangunkan laman web, mengarang, dan melukis yang memerlukan bakat, kemahiran, latihan, kreativiti, dan pengalaman.Wanita yang mempunyai literasi teknologi, terutama literasi komputer mendapati mereka boleh melakukan banyak kerja yang tidak dapat dilakukan oleh mereka dahulu. Kelebihan itu disebabkan teknologi maklumat telah mewujudkan fleksibiliti dan peluang yang tidak wujud sebelum ini.Banyak peluang baru wujud daripada perubahan yang berlaku pada zaman maklumat. Hasilnya, pekerja wanita sudah meningkat.
Wanita yang berpendidikan tinggi dan mempunyai literasi teknologi adalah wanita baru yang pandai komputer. Masalah yang paling ditakuti sekarang bukan teknologi, tetapi isi kandungan yang sesuai. Isi kandungan internet, misalnya, yang membuat orang ramai tertarik kepadanya, dan bukan teknologi. Namun, teknologi juga perlu diberi perhatian kerana teknologi yang lebih mudah, murah, dan cepat itu menarik lebih banyak orang. Buat masa ini, internet dimonopoli oleh lelaki dengan isi kandungannya berorientasi sukan, hiburan, dan sebagainya yang digemari oleh lelaki. Sebaliknya , maklumat yang dikehendaki oleh wanita adalah tentang pemakanan, resipi, masalah wanita, rawatan


penyakit dan kecederaan ringan dengan segera, dos ubat dan kesan sampingannya. Maklumat itu menjadikan mereka ibu yang lebih bijak dan isteri yang lebih pandai mengurus kewangan keluarga.
Banyak usahawan wanita telah membangunkan laman web dengan isi kandungan yang sesuai untuk wanita. Contohnya, Ellen Pack Nancy yang membangunkan WELL (whole Earth Electronic Link) di San Francisco. Yang penting ialah melalui internet, setiap pelanggan diberi layanan kelas pertama. Mod komunikasi yang sama ditanggapi secara berlainan antara lelaki dengan perempuan.
Dalam era maklumat, yang dipentingkan ialah kekuatan intelek. Banyak wanita merebut peluang dalam perkembangan IT untuk merealisasikan potensi. Banyak di kalangan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tertinggi sehingga menjadi pakar dalam bidang masing-masing. Mereka menggunakan peluang itu untuk mencetuskan perubahan lain yang menguntungkan wanita sendiri. Sehubungan itu, teknologi komputer dalam era maklumat mempunyai kesan empowerment yang luar biasa dalam meningkatkan produktiviti, lantas menaikkan status wanita.
Teknologi cumalah alat. Ia tidak membezakan jantina, kerja, atau mesej. Yang boleh membezakan ialah isi kandungannya. Tetapi, untuk mendapatkan mesej dan maklumat, semua orang perlu menggunakan teknologi. Persoalan utama dalam konteks ini ialah kebolehan mengakses. Hal ini meliputi kemampuan memiliki teknologi, kemudahan prasarana, undang-undang, dan lain-lain. Oleh itu setiap wanita perlu kreatif dan inovatif.
DEWAN BUDAYA, OGOS 1998, BIL 8 JIL 20, M/S 20-21
by,
laili….

No comments:

Post a Comment